4 October 2013

ISRAK DAN MIKRAJ

Saban tahun umat Islam menyambut peristiwa bersejarah dan agung iaitu peristiwa Isra’ wal Mikraj.Israk adalah kata terbitan di dalam Bahasa Arab bermaksud ‘perjalanan’ manakala Mikraj pula diertikan dengan ‘naik’. Israk merujuk perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil al-Aqsa manakala Mikraj ialah naik Rasulullah ke setiap lapisan langit sehinggalah ke Sidratul Muntaha mengadap Rabbul Jalil yang Maha Esa.Peristiwa ini berlaku dalam satu malam seperti firman Allah SWT di dalam permulaan surah Isra.
Para penulis sejarah Islam berbeza pendapat dalam penentuan tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Namun yang penting di sini ialah sejauh manakah umat Islam dapat mengambil ibrah dan panduan dari peristiwa agung ini.
Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti di dalam kitab sirahnya ‘Fiqh Serah’ mengungkapkan ia sebagai Mukjizat Isra’ dan Mikraj. Sudah tentu peristiwa ini punya signifikan dan implimentasi besar dalam sejarah babak-babak perjuangan dakwah dan fasa-fasa perluasan tarbiyah.
Peristiwa ini berlaku di saat dakwah menghadapi tantangan yang cukup hebat dari golongan al-mala’ (pembesar) Quraish. Dakwah ketika itu berada di kemuncak penindasan dan penyeksaan serta komplot jahat pemulauan dan sekatan ekonomi terhadap Jamaah Muslimin . Di tengan –tengah senario itu, terjadinya kematian isteri baginda SAW Khadijah binti al-Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib yang banyak memberikan perlindungan kepada perjuangan baginda SAW.Ahli Sejarah menamakannya ‘ ‘Am al-Huzni’ – Tahun Kesedihan.
Keadaan ini sedikit sebanyak memberikan impak yang mendalam kepada jiwa baginda, tekanan emosi dan psikologi kepada perjuangan besar ini. Di tambah pula penolakkan total dari penduduk Toif terhadap seruan baginda sehingga baginda dibaling batu oleh kanak-kanak Toif.Namun tarbiyah dan didikan allah berterusan dan merentas sempadan masa. Ada hikmah dan ibrah yang perlu dihayati dan dimengerti khususnya buat para pejuang Islam sejati akan hakikat tariq dakwah ini. Jalan ini sukar dan payah, tidak dihampar permaidani merah, tidak dikalung dengan jambangan bunga dan ditaburi dengan kesenangan dan keselesaan.
Lantaran itu, Allah mahu membangkitkan semangat dan motivasi Ar-Rasul SAW selaku pemimpin dakwah dan harakah bersama para pengikutnya yang sentiasa taat dan iltizam dengan prinsip perjuangan agar terus memiliki momentum dan energi dakwah disebalik suka duka, asam garam, manis pahit dan harga termahal perjuangan yang berkesinambungan ini.Mukjizat Isra dan Mikraj adalah hadiah Allah kepada baginda bagi merefreshkan semula semangat yang lesu, mentajdid tekad dan azam perjuangan, membangkit himmah dan cita-cita bagi memikul gagasan besar dakwah dan perjuangan li ‘ilai kalimatallah hihiyal ‘ulya.
Spirit dan momentum yang diperolehi sepanjang pengembaraan ini (rehlah tarfihiyah) mampu melonjak semangat dakwah dan ruh harakah, mencari ruang-ruang baru dakwah kerana mukjizat ini sarat dengan hikmah, kaya dengan nostalgia dakwah menerusi pertemuan antara beberapa generasi dakwah dari Adam a.s hingga Rasul sebelumnya.Tanda isyarat kesinambungan dakwah dan risalah. Begitu juga kaitan di antara dua masjid yang menjadi teras kesatuan akidah antara dua zuriat pewaris nabi, zuriat Adam a.s ( Bani Israel) dan zuriat Ibrahim a.s, babak-babak dan gelagat manusia serta penerimaan amanah agung dihadapan allah akan beban ‘solat’.
Momentum inilah akan memberikan ufuk baru kepada perjuangan baginda bahawa dakwah harus dipacu, perjuangan perlu menempuh khalayak manusia , penjaringan dakwah yang luas dan bahtera dakwah perlu dikemudi sehingga visi dan misi direalisasi.
Apa yang boleh kita gali dan singkapi dari makna-makna dakwah dan entri-entri perjuangan menerusi mukjizat Isra’ dan Mikraj ini ialah :
  • Rehlah Israk dan Mikraj merupakan satu uslub dan wasilah tarbiyah allah kepada baginda Rasulullah SAW bagi menyegar dan membugar perjuangan dakwah. Ketika da’ie berasa lesu dan lemah, maka wasilah ‘jaulah’ adalah kaedah terbaik bagi mengembalikan semangat ini, menimba pengalaman dari qudama’, menenangkan perasaan dan sebagainya.
  • Da’ie perlu disuntik semangat dan himmah agar momentum dakwah dan tarbiyah sentiasa hidup. Pemimpin dakwah, para murabbi hendaklah meniupkan api perjuangan, menggugah perasaan dan membina zon pro-aktif agar tenaga du’at sentiasa berkekalan dan meningkat.
  • Dakwah ini adalah taurith (pewarisan) sebagaimana Rasulullah bertemu dengan para nabi terdahulu, mengambil semangat daripada mereka serta memimpin jamaah solat mereka.
  • Rehlah dan jaulah ini adalah satu tajdid keazaman dan himmah selepas melewati pelbagai cabaran dan hambatan di jalan dakwah. Ia mengingatkan baginda bahawa dakwah ini adalah hak milik allah dan manusia adalah pemegang amanahnya. Segala ujian dan dugaan bukanlah tanda kemurkaan allah tetapi menjelaskan bahawa sunnah dakwah tidak lari dari mehnah. Rehlah ini sebenarnya ubat penenang dan dos penyegar psikologi jiwa baginda. Kesantaian dan keseronokan dalam pengembaraan ini mengembalikan kekuatan baginda dan menghilangkan kekusutan difikiran baginda s.a.w.
  • Tazkiyah an-nafs (penyucian jiwa) penting dalam proses tarbiyah. Untuk bertemu dan mengadap allah, maka para da’ie perlu memiliki jiwa yang bersih dan suci kerana perjalanan ini adalah perjalanan hati menuju kepada allah. Bagaimana kita ingin bertemu allah, sedangkan jiwa kotor dengan dosa dan noda. Trilog tarbiyah ini adalah terdiri dari tiga kalimah : tilawah-tazkiyah-taklim. Di samping itu kita tidak lupa persoalan solat yang menjadi tiang utama Islam. Kewajipan solat mesti dititik berat sebagai wahana pembentukan peribadi muslim dan peribadi da’ie. Solat dapat meningkat ruhiyyah sang Da’ie, padanya kuantum dan momentum.
  • Isu Palestin merupakan isu utama dan teras dalam perjuangan dakwah. Para da’ie perlu menguasai topik ini, mendalami perjuangan Palestin, mewar-warkannya kepada umat Islam dan menjadikannya sebagai agenda penting dakwah. Ini kerana cabaran terbesar dan musuh utama dakwah ini ialah Yahudi yang melakukan makar kepada umat Islam.
  • Dalam perjalanan dakwah ini, kita amat-amat memerlukan bekalan dan bimbingan dari allah, didikan rabbaniyah. Kelangsungan tarbiyah inilah yang menjadikan para da’ie tidak terjebak dari gejala futur dan gugur disepanjang jalan. Tarbiyah menjadi teras dan asas kepada perjuangan. Nabi SAW sentiasa dibimbing dan dididik biar apa jua kesulitan yang menimpa dan kesenangan yang diterima. Senang susah adalah warna-warna perjuangan dan tarbiyah rabbaniyah.
  • Dalam pengoperasian tarbiyah dan dakwah, kita mesti melihat masa depan dengan penuh optimistik, perlu ada fiqh tanabbu’ ( kajian masa depan) agar hala tuju dakwah sampai sasarannya. Kejayaan awal setelah berlaku mukjizat ini ialah peluang dakwah kepada penduduk Yathrib meskipun orang-orang kafir Quraish menolak untuk mempercayainya.
  • Teknologi dakwah perlu dikembangkan dan diinovasikan sebagaimana allah menghubungkan peristiwa ini dengan cakrawala, merentas langit, galaksi dan sains angkasa lepas. Ini menunjukkan dakwah kita perlu memanfaatkan teknologi siber dan ICT, mewujudkan web, akses internet sesuai dengan kepesatan teknologi satelit dan pengaruh globalisasi.
RUJUKAN

0 Ulasan:

Post a Comment

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates